Ahad, 14 Januari 2018 | 5:07pm
FOTO hiasan.

Suspek samun pemandu Grab Car ditahan

KLANG: Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes samun pemandu Grab Car di Bandar Putera di sini, 7 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata dalam kejadian pada jam 7.50 malam itu, mangsa yang berusia 43 tahun membawa seorang suspek dari Kampung Jawa ke Bandar Putera.

"Sebaik tiba di destinasi, suspek meminta pemandu keluar dari keretanya dengan alasan meminta tolong mencari telefon bimbit yang tertinggal dalam kereta itu.

"Sebaik mangsa turun dari kereta, suspek cuba menumbuk tetapi sempat dielak mangsa. Suspek kemudian melarikan diri menggunakan kereta mangsa.

"Susulan kejadian itu, mangsa kerugian kira-kira RM45,000 iaitu sebuah kereta jenis Perodua Bezza, wang tunai dan telefon bimbit," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Beliau berkata, maklumat membawa sepasukan pegawai dan anggota menahan tiga lelaki berusia 14, 25 dan 44 tahun di Kampung Jawa, malam tadi.

Katanya, suspek berusia 25 tahun yang dipercayai menyamun mangsa, mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan samun, curi kenderaan dan dadah.

"Suspek berkenaan dikesan positif dadah jenis Methamphetamine dan direman tujuh hari manakala dua lagi suspek direman empat hari.

"Kereta mangsa ditemui di sebuah lorong di Taman Maznah, di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X