Jumaat, 12 Januari 2018 | 3:32pm

Serbu enam lokasi, rampas dadah bernilai RM721,000

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis antara lapan individu yang ditahan selepas polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa dalam enam serbuan berasingan di Kuala Lumpur dan Johor Baharu pada Rabu dan Khamis lalu.

Dalam serbuan pada jam 11 malam hingga 2.30 petang itu membabitkan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang turut disertai Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur merampas pelbagai dadah bernilai RM721,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata dalam serbuan itu pihaknya menahan tujuh lelaki dan seorang wanita berusia antara 32 hingga 58 tahun.

"Dalam serbuan pertama dijalankan di sebuah kondominium di Bandar Baru Sri Petaling, kita menahan sepasang kekasih dipercayai dalang utama sindiket ini.

"Selain itu, kita berjaya merampas 10.3 kilogram dadah jenis syabu dan 37 biji dadah jenis ekstasi," katanya dalam sidang media di Balai Polis Travers dekat sini, pagi tadi.

Beliau berkata, kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau atas kesalahan dadah dan positif dadah jenis methamphetamine.

Serbuan kedua dijalankan di Jalan Perdana, Pandan Perdana menahan tiga lelaki dan merampas 21 gram dadah jenis ketamin, 79 gram ganja, 11.5 gram syabu, 10 biji eramin dan tujuh ekstasi.

"Ketiga-tiga suspek ini mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan dadah, samun dan mencuri," katanya.

Mohmad Salleh, berkata dalam serbuan yang ketiga pula di sebuah premis taman Setiawangsa di mana seorang suspek lelaki dan selepas membuat ujian air kencing didapati negatif dadah.

"Serbuan keempat dijalankan di Setapak dengan seorang lelaki ditahan dan di dalam biliknya kita menjumpai 50 butir peluru jenis 9 milimeter. Dalam serbuan kelima iaitu di Muar, kita menahan tahan seorang lelaki, manakala lokasi keenam tiada sebarang rampasan dan tahanan," katanya.

Beliau berkata, jumlah sitaan ke atas semua lokasi berjumlah RM2.73 juta iaitu lebih tinggi berbanding nilai rampasan dadah.

"Kita merampas pelbagai wang tunai bernilai RM2.1 juta, lapan kereta, lima utas jam tangan berjenama dan pelbagai jenis barang kemas," katanya.

Kesemua suspek kini direman tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

61 dibaca
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh (empat dari kiri), melihat rampasan pelbagai wang tunai sebanyak 2.1 juta ketika sidang media selepas kejayaan menumpaskan sindiket dadah di Balai Polis Travers. - Foto Sairien Nafis
Berita Harian X