Khamis, 11 Januari 2018 | 7:06pm
BAHAGIAN bumbung yang dipecahkan tiga lelaki dan melarikan wang tunai kira-kira RM25,000 di Pejabat Pos Tanjung Rambutan, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof
BAHAGIAN bumbung yang dipecahkan tiga lelaki dan melarikan wang tunai kira-kira RM25,000 di Pejabat Pos Tanjung Rambutan, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof
KOTAK penggera yang dibuang kedalam longkang berhampiran Pejabat Pos Tanjung Rambutan dalam kejadian pecah masuk dan melarikan wang kira-kira RM25,000. - Foto Abdullah Yusof
KOTAK penggera yang dibuang kedalam longkang berhampiran Pejabat Pos Tanjung Rambutan dalam kejadian pecah masuk dan melarikan wang kira-kira RM25,000. - Foto Abdullah Yusof
PEJABAT Pos Tanjung Rambutan dipecah masuk dan kerugian wang kira-kira RM25,000. - Foto Abdullah Yusof
PEJABAT Pos Tanjung Rambutan dipecah masuk dan kerugian wang kira-kira RM25,000. - Foto Abdullah Yusof

Pejabat pos dipecah masuk, RM25,000 lesap

IPOH: Tingkat bawah pejabat Pos Malaysia Bhd di Jalan Susuran 2, Tanjung Rambutan, dekat sini dipecah masuk tiga penjenayah yang melarikan wang tunai RM25,000.

Kejadian disedari jam 7.10 pagi tadi selepas seorang penyelia serahan berusia 46 tahun mendapati bumbung bahagian belakang tempat letak motosikal dipotong manakala pagar hijau serta zink biru yang dijadikan dinding digunting.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata pihaknya menerima laporan kejadian yang dibuat penyelia berkenaan di Balai Polis Tanjung Rambutan pada jam 8.13 pagi.

Beliau berkata, berdasarkan percakapan pengadu, dia mendakwa keluar dari tingkat atas meninggalkan bangunan pejabat dua tingkat itu pada jam 7 malam semalam tetapi tidak pasti individu terakhir yang keluar dari tingkat bawah.

Katanya, siasatan mendapati wang tunai RM25,000 iaitu wang kutipan yang disimpan di dalam peti besi dilarikan tiga suspek yang menutup muka dan memakai topi selepas mereka menebuk peti besi berkenaan.

"Semakan di lokasi kejadian menemui dua kesan cap jari manakala kotak alat penggera ditemui dalam longkang berhampiran lokasi kejadian.

"Semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiga individu di lokasi kejadian dipercayai suspek dalam kejadian itu.

"Suspek dipercayai melakukan kegiatan itu pada jam 3 pagi kerana pengurus pejabat pos berkenaan ada menghubungi Balai Polis Tanjung Rambutan dan memaklumkan alat penggera di bangunan itu berbunyi.

"Ada anggota polis pergi ke tempat kejadian namun laporan adalah tiada apa-apa kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Ali berkata, siasatan lanjut bersama pihak forensik petang tadi mengesyaki suspek keluar masuk melalui lubang di kawasan bumbung dan pagar yang dipotong.

Katanya, polis turut menemui peralatan pecah masuk iaitu alat pemotong dan dua pemutar skru.

"Siasatan masih diteruskan termasuk mengesan semua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

16 dibaca
Berita Harian X