Khamis, 11 Januari 2018 | 5:46pm
DADAH yang dirampas polis di kawasan tempat letak kenderaan di Jeti Marina, Teluk Muroh, di sini semalam. - Foto Noor Hidayah Tanzizi
KETUA Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini, hari ini. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

3 pengedar dadah tak sempat naik feri

LUMUT: Seorang pengedar dadah tidak sempat menaiki feri untuk menjual dadah di Pulau Pangkor selepas ditahan polis di kawasan tempat letak kenderaan di Jeti Marina, Teluk Muroh, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman, berkata suspek berusia 23 tahun ditahan pada jam 4.15 petang dan pemeriksaan lanjut pada suspek menemui satu paket plastik lutsinar dipercayai mengandungi heroin seberat 30.4 gram bernilai RM750.

"Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif morfin selain mempunyai rekod kesalahan lampau kes dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebelum itu polis turut menahan seorang lelaki yang juga dipercayai pengedar dadah berusia 20 tahun di sebuah apartmen di Bukit Permata di sini pada jam 11 pagi.

Katanya, pemeriksaan menemui dua paket plastik lutsinar disyaki mengandungi heroin seberat 101 gram bernilai RM2,500 dalam bungkusan plastik di poket hadapan seluar suspek.

Muhammad Hanif berkata, seorang lagi lelaki bekerja sebagai nelayan berusia 29 tahun ditahan di lorong Kampung Masjid, Pulau Pangkor pada jam 2.30 petang, kelmarin, dan pemeriksaan dia memiliki heroin seberat 10.2 gram yang disimpan di dalam kotak rokok.

Katanya, kedua-dua suspek berkenaan turut positif morfin dan mempunyai rekod kesalahan lampau.

"Kesemua suspek yang ditahan dipercayai mengedar dadah secara kecil-kecilan dan dua suspek berusia 20 dan 23 tahun itu tidak bekerja.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 15(1)(A) dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Berita Harian X