Selasa, 9 Januari 2018 | 4:18pm
SEBUAH kereta terpaksa berhenti secara mengejut, menyebabkan lori di belakangnya terpaksa mengelak sebelum terbabas dan merempuh mangsa.
MOHD Arif Ghazali meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada bahagian kepala dan badan. - Foto ihsan pembaca

Pekerja PROPEL maut dilanggar

BUTTERWORTH: Seorang pekerja syarikat Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (PROPEL) yang sedang membuat kerja penyelenggaraan, maut dirempuh lori di Kilometer 14.6 Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE) di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian pada jam 12.05 tengah hari itu, mangsa, Mohd Arif Ghazali, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid, berkata kemalangan itu berlaku selepas lori dipandu pemandu berusia 36 tahun gagal melihat pekerja PROPEL sedang melakukan kerja di kawasan berkenaan.

"Siasatan mendapati pekerja syarikat penyelenggaraan tidak meletakkan sebarang tanda amaran sebagai langkah keselamatan ketika melakukan tugasnya.

"Keadaan itu mengakibatkan sebuah kereta terpaksa berhenti secara mengejut, menyebabkan lori di belakangnya terpaksa mengelak sebelum terbabas dan merempuh mangsa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Nik Ros berkata, pemandu lori dan kereta berusia 55 tahun itu difahamkan dalam perjalanan dari arah Lunas, Kedah menghala ke Seberang Jaya, dekat sini.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X