Ahad, 7 Januari 2018 | 11:59am
Pasukan mencari dan menyelamat membawa naik mayat mangsa yang ditemui di Sungai Julau pagi tadi. - Foto Khalid Latip

Lelaki hilang ditemui lemas

JULAU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas di Sungai Julau, di sini, yang memasuki hari ketiga, hari ini, berakhir dengan penemuan mayat mangsa, pagi tadi.

Mayat Ukat Abon, 74, ditemui pada jam 9 pagi pada jarak kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh, Jumaat lalu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat ditemui terapung di sungai berkenaan oleh pasukan bomba yang dibantu oleh beberapa agensi lain, termasuk penduduk kampung.

"Mayat mangsa sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Berikutan itu, operasi SAR ditamatkan pada jam 9.25 pagi," katanya.

Kehilangan mangsa disedari oleh ahli keluarganya selepas menjumpai pakaian dan barang peribadi milik mangsa di dalam perahu yang dipercayai digunakannya untuk ke kebun, Jumaat lalu.

Pada masa sama, selipar mangsa turut ditemui anggota keluarga di tepi sungai itu yang menjadi tempatnya untuk menambat perahu.

Mangsa dipercayai hilang pada jam 11 pagi dan hanya disedari oleh ahli keluarganya lima jam kemudian selepas menjumpai perahu mangsa yang hanyut kira-kira 50 meter dari lokasi tempat letak perahu.

"Anggota keluarganya kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Julau pada jam 4 petang," katanya.

Berita Harian X