Sabtu, 6 Januari 2018 | 4:48pm
OPERASI mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan APMM dengan bantuan pihak bomba dan nelayan tempatan. - Foto ihsan APMM

Nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh bot

PARIT BUNTAR: Seorang nelayan tempatan dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika menangkap ikan kira-kira 1.83 kilometer dari perairan Kuala Sepetang, Larut Matang, pagi semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pangkalan Kuala Kurau, Leftenan Komander Maritim Mohamad Zainal, berkata dalam kejadian jam 3.00 pagi semalam, mangsa Law Ah Hing, 62, dikatakan terjatuh selepas bot yang dinaiki dipukul ombak besar.

Katanya, Maritim Malaysia yang menerima laporan kejadian bergegas menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Operasi SAR membabitkan bot kilat Maritim Malaysia masih diteruskan hingga hari ini dan operasi pencarian diperluaskan dengan bantuan aset udara Maritim Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat selain turut dibantu 15 buah bot nelayan tempatan.

"Bagaimanapun, hingga jam 2.00 petang tadi mangsa masih belum ditemui," katanya di sini hari ini.

Mohamad Zainal berkata, pihaknya masih meneruskan lagi pencarian dan kawasan pencarian sedia ada akan diperluaskan.

Berita Harian X