Rabu, 3 Januari 2018 | 7:10pm

SPRM ikrar ketegasan banteras penyelewengan dana, pecah amanah

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius penyelewengan, salah guna kuasa dan pecah amanah membabitkan dana kerajaan yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat serta pembangunan negara.

SPRM dalam kenyataannya hari ini, berkata pihaknya bertindak tegas dalam isu terbabit, seperti yang dapat dilihat menerusi beberapa pertuduhan dibuat terbabit baru-baru ini, termasuk kes penyelewengan dana orang ramai di syarikat swasta.

Katanya, antara lain, semalam, Zamrud Mansor, 77, dan anaknya, Hazizul Zamrud, 44, masing-masing bekas pegawai dan pegawai kanan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC) didakwa melakukan pecah amanah.

"Ini termasuk pembayaran RM4.3 juta kepada Syarikat MISDEC Resources Sdn Bhd dan RM280,000 kepada tujuh syarikat pembekal lain atas pelbagai urusan.

"Hari ini, bekas Pegawai Eksekutif DKSH Transport Agencies (M) Sdn Bhd (DKSH), Chan Foo Chin, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru oleh SPRM mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

"DKSH, sebuah syarikat yang tersenarai dalam papan utama Bursa Malaysia, didakwa dengan curangnya menyalahgunakan dana syarikat dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM864,000 melalui tiga transaksi cek," katanya.

Sehubungan itu, SPRM menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan pecah amanah tampil membuat laporan supaya tindakan dapat diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Pada masa sama, SPRM akan terus memastikan dana yang diperuntukkan sampai kepada masyarakat atau golongan sasar seperti ditetapkan, selain memastikan mereka yang terbabit dengan rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan pecah amanah disiasat serta dibawa ke muka pengadilan.

77 dibaca
Berita Harian X