Rabu, 3 Januari 2018 | 6:50pm
ANGGOTA bomba menyelamatkan seorang lelaki yang cuba untuk membunuh diri dari terjun tingkat 12 di Prima Kondominium bersebelahan Hospital Pakar Ipoh pagi tadi. - Foto Ihsan BOMBA

Lompat balkoni demi cinta

IPOH: Kecewa dalam percintaan dipercayai punca seorang lelaki cuba terjun dari tingkat 12 kondominium miliknya, di Jalan Raja Dihilir, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, lelaki berusia 31 tahun itu dikatakan cuba melompat dari balkoni rumahnya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Thamby, berkata ahli keluarga yang menyedari kejadian itu menghubungi Balai Polis Sungai Senam, di sini, pada jam 7.50 pagi.

Beliau berkata, mangsa diselamatkan ketika bergayut di tiang piring satelit di tingkat 12.

Katanya, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut dikejarkan ke lokasi bagi melakukan tugas menyelamat.

"Hasil siasatan awal dengan ahli keluarga mendedahkan mangsa gagal dalam percintaan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Ali berkata, lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Terdahulu, anggota bomba yang dikejarkan ke lokasi kejadian berjaya memujuk lelaki terbabit dan mencapai tangannya serta membawanya ke tempat selamat.

Berita Harian X