Selasa, 2 Januari 2018 | 4:55pm

Bapa, anak dituduh pecah amanah

AYER KEROH: Dua beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas 84 pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai RM4.58 juta, sejak 2014.

Zamrud Mansor, 77, dan anaknya, Hazizul Zamrud, 44, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Zamrud dan Hazizul, bekas pegawai dan pegawai kanan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC), masing-masing berdepan 42 pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, Zamrud yang ketika itu memegang jawatan sebagai Setiausaha MISDEC didakwa melakukan pecah amanah dengan membuat pembayaran sebanyak RM4.3 juta kepada Syarikat MISDEC Resources Sdn Bhd dan RM280,000 kepada tujuh syarikat pembekal lain atas pelbagai urusan.

Hazizul turut didakwa atas 42 pertuduhan sama kerana bersubahat dengan bapanya melakukan pecah amanah.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Taman Perindustrian Batu Berendam, di antara Mac 2014 hingga Jun 2015.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat, menawarkan jaminan RM500,000 bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam bela Azrul Zulkifli Stork merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan Zamrud menghidap penyakit jantung dan asma, manakala Hazizul pula masih bekerja di MISDEC dan perlu menanggung isteri serta dua anak yang masih kecil.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM250,000 setiap seorang dan perlu melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM berhampiran sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 2 Februari depan untuk sebutan semula kes.

ZAMRUD Mansor dan anaknya, Hazizul Zamrud dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, hari ini, atas 84 pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai RM4.58 juta, sejak 2014. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
Berita Harian X