Isnin, 1 Januari 2018 | 3:49pm
MOHD Ramli Abdul Kadir menunjukkan gambar dua anaknya, Fithri Aziz Mohd Ramli dan Hamdan Syakirin yang maut dalam kemalangan motosikal di Kampung Chicha, Kubang Kerian. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
FITHRI Aziz Mohd Ramli bersama adiknya, Hamdan Syakirin maut dalam kemalangan motosikal di Kampung Chicha, Kubang Kerian. - Foto ihsan pembaca

Bapa saksi dua anak maut kemalangan

KOTA BHARU: Luluh hati seorang bapa apabila dua daripada tiga anaknya yang keluar membeli kelengkapan persekolahan malam tadi, maut dalam kemalangan motosikal di Kampung Chicha, Kubang Kerian.

Mangsa, Fithri Aziz Mohd Ramli, 13, bersama adiknya, Hamdan Syakirin, 11, maut di tempat kejadian, manakala abang mereka, Muhamad Hakimi, 25, yang menunggang motosikal berkenaan, parah selepas dirempuh sebuah kereta jenis Hyundai Atos.

Lebih memilukan, bapa mereka, Mohd Ramli Abdul Kadir, menyaksikan sendiri ketiga-tiga anak mereka terbaring di atas jalan raya selepas kemalangan itu.

"Ketika menaiki motosikal melalui kawasan kemalangan itu, saya menjadi lemah selepas melihat ketiga-tiga anak lelaki terbaring di tepi jalan.

"Memang saya dimaklumkan Muhamad Hakimi dan Fithri Aziz pergi ke kedai membeli baju sekolah tetapi tidak menyangka Hamdan Syakirin turut menaiki motosikal bersama dua abangnya itu," katanya ketika ditemui rumahnya di Kampung Chicha, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam tadi, ketiga-tiga beradik itu dikatakan mahu ke kedai berdekatan untuk membeli kelengkapan sekolah dan kemalangan berlaku selepas motosikal mereka membuat pusingan U bagi menyeberang jalan.

Jenazah dua beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chicha pada jam 3 petang ini.

Mohd Ramli yang juga bapa kepada sembilan anak berkata, Fithri Aziz sepatutnya memasuki Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Agama Taqadun Maarif, manakala Hamdan Syakirin pula ke Tahun Enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Stan, hari ini.

"Saya amat sedih kerana mereka masing-masing bersemangat ke sekolah, malah Fithri Aziz teruja melangkah ke sekolah menengah.

"Saya menganggap kehilangan dua anak ini sebagai ujian Allah dan sekarang hanya mampu berdoa bagi kesembuhan Muhamad Hakimi yang masih tidak sedarkan diri serta dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Sekysen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X