Isnin, 1 Januari 2018 | 1:38pm
SEORANG lelaki maut selepas motosikalnya terbabas dan terjunam dalam tali air di Jalan Permatang Bogak, Kepala Batas, pagi tadi.

Lelaki maut tercampak dalam tali air

KEPALA BATAS: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai terbabas sebelum merempuh tiang elektrik dan tercampak ke dalam tali air di Jalan Permatang Bogak, dekat sini, pagi tadi.

Mayat mangsa ditemui orang awam yang melalui jalan berkenaan kira-kira jam 7.45 pagi sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata siasatan awal di lokasi kejadian mendapati terdapat sebuah motosikal turut berada dalam tali air berkenaan.

"Berdasarkan kesan kemalangan yang ditemui, kita percaya motosikal yang ditunggang mangsa terbabas dan melanggar tiang elektrik di lokasi kejadian sebelum dia tercampak ke dalam tali air berdekatan.

"Kedalaman tali air itu pula dianggarkan antara 1.5 hingga 2.5 meter dan dikhuatiri mangsa berkemungkinan meninggal dunia akibat lemas," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, mayat dan motosikal mangsa dinaikkan ke darat dengan bantuan orang awam.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk bedah siasat.

"Orang awam yang menyaksikan kemalangan berkenaan diminta tampil atau menghubungi polis untuk membantu siasatan," katanya.

Berita Harian X