Jumaat, 29 Disember 2017 | 7:43pm
KEMALANGAN melibatkan dua buah lori dan telah tebakar di kilometer 216.5 Lebuhraya PLUS Arah Utara. - Foto Ihsan Bomba & Penyelamat
KEMALANGAN melibatkan dua buah lori dan telah tebakar di kilometer 216.5 Lebuhraya PLUS Arah Utara. - Foto Ihsan Bomba & Penyelamat

Lompat ke gaung selamatkan diri

ALOR GAJAH: Dua lelaki terpaksa melompat ke gaung bagi menyelamatkan diri daripada kenderaan mereka yang terbakar.

Saksi kemalangan yang dikenali sebagai Zaidi, 42, berkata beliau melihat dua lelaki melompat ke gaung dari dua treler yang terbakar.

Kejadian kira-kira jam 6.30 pagi di Kilometer (KM) 216.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara itu membabitkan treler membawa muatan botol arak kosong dan minyak masak.

Kemalangan dikatakan berlaku apabila treler muatan botol, yang dipandu Azmi Idris, 38, rosak dan berhenti di lorong kecemasan, dirempuh lori muatan minyak terbabit dan terbakar.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, pemandu treler minyak masak, yang belum dikenal pasti identitinya, melecur di belakang badan dan kelindannya, N Paratap, patah kaki kiri dan tangan kanan.

"Pemandu treler botol, Azmi Idris, hanya luka ringan. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya, di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam kejadian pada jam 5 pagi di KM199.3 lebuh raya sama arah selatan, pemandu lori Sky Net, Ridzuan Kumpelin, 27, maut, apabila lorinya merempuh belakang treler muatan kabel elektrik.

Mangsa yang berasal dari Kota Belud, Sabah dan menetap di Petaling Jaya, Selangor, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu treler, Ismail Hashim, 49, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X