Jumaat, 29 Disember 2017 | 3:15pm

Rampas dadah RM1.7 juta

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah, termasuk serbuk minuman dicampur estacy bernilai kira-kira RM1.7 juta.

Operasi dilakukan Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman, menerusi empat serbuan di Seri Kembangan dan Jinjang Selatan, kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata serbuan bersama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Kuala Lumpur itu dibuat antara jam 4.15 petang hingga 6.15 petang, hasil maklumat dan risikan.

Katanya, serbuan pertama di Taman Bukit Serdang menahan seorang lelaki berusia 29 tahun dan merampas 13 kilogram (kg) ketamin.

"Suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah di kawasan itu dan hasil pemeriksaan menemui 2,160 paket serbuk minuman yang disyaki dicampur dadah jenis estacy seberat 19.44 kg.

"Susulan itu, kita menyerbu ke sebuah lagi rumah di Jinjang Selatan Tambahan dan menahan seorang lelaki berusia 56 tahun serta merampas 12.94 kg serbuk ephedrine, bahan digunakan untuk menghasilkan syabu.

"Berpandukan suspek kedua, kita menyerbu ke sebuah lagi rumah di Bandar Putra Permai dekat Seri Kembangan dan menahan seorang lagi lelaki berusia 47 tahun, tetapi tiada rampasan dibuat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, hari ini.

Katanya, semua dadah yang dirampas mampu menampung permintaan 110,000 penagih.

Mohmad berkata, berdasarkan siasatan, peket serbuk minuman itu dipercayai untuk pasaran di pusat hiburan sekitar Negeri Sembilan dan Kajang dengan harga pasaran satu peket RM350, manakala ketamin itu dipercayai untuk dipasarkan ke Taiwan.

Jelas beliau, harga pasaran gelap bagi dadah jenis ketamin ialah RM50,000 bagi sekilogram namun, nilainya dikatakan 10 kali ganda lebih mahal dan mampu mencecah sehingga RM500,000 di pasaran di Taiwan.

"Selain dadah, dua buah kereta turut disita dengan nilai keseluruhan RM45,000.

"Ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek pertama dan ketiga mendapati positif dadah manakala, suspek kedua mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengenal pasti dalang di sebalik sindiket berkenaan, dan ketiga-tiga suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 13B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh (tengah) menunjukkan dadah jenis Ketamin dan Ecstacy yang dirampas pada Sidang Media Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berhubung kejayaan Rampasan Sindiket Pengedaran Dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Sentul. - Foto Aswadi Alias
Berita Harian X