Khamis, 28 Disember 2017 | 1:37pm
SEORANG datuk bersama cucunya maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika sedang melintas jalan di Kilometer 3.5, Jalan Kampung Bahagia-Kampung Gajah, Kampung Bahagia. - Foto S RAVALE

Datuk, cucu maut dirempuh kenderaan

TELUK INTAN: Hasrat seorang datuk untuk menikmati tom yam bersama cucunya tidak kesampaian apabila kedua-duanya maut dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika melintas jalan di Kilometer 3.5, Jalan Kampung Bahagia - Kampung Gajah, di Kampung Bahagia dekat sini, malam tadi.

Ketika kejadian jam 8.20 malam, kedua-dua mangsa yang tinggal di sebuah pusat jagaan anak-anak yatim dan warga tua, sedang melintas jalan selepas membeli makanan di sebuah kedai terletak di seberang jalan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Yahaya Hasan, berkata mangsa S Krishnan, 64, dan cucunya S Ugeendrann, 11, meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, ketika kejadian kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Gajah menuju Changkat Jong.

"Sampai di tempat kejadian pemandu itu melanggar kedua-dua mangsa yang ketika itu sedang berjalan kaki melintas jalan dari arah kanan ke kiri bahu jalan.

"Akibat rempuhan itu kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Teluk Intan (HTI) untuk di bedah siasat," katanya di sini hari ini.

Yahaya berkata, pemandu berkenaan ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X