Rabu, 27 Disember 2017 | 1:17pm
NORDIN Ab Rashid (gambar kecil) maut akibat kemalangan jalan raya di Rancangan Kemajuan Tanah KESEDAR Sungai Asap B, di sini, hari ini - Foto Ramli Ibrahim.

Ketua kerani maut kemalangan

GUA MUSANG: Ketua Kerani Majlis Daerah Gua Musang maut akibat kemalangan jalan raya, di Rancangan KemajuanTanah (RKT) KESEDAR Sungai Asap B, di sini, hari ini.

Nordin Ab Rashid, 55, yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian apabila motosikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah kereta pada jam 9 pagi.

Bagaimanapun, pemandu kereta Proton Saga yang berusia lingkungan 60-an itu tidak cedera.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin, berkata kejadian itu berlaku ketika mangsa menunggang motosikal dari bandar Gua Musang ke tempat kerjanya di Chiku.

Beliau berkata, kemalangan berlaku selepas kereta Proton Saga tiba-tiba keluar dari Simpang Tiga RKT KESEDAR Sungai Asap B dan melanggar motosikalnya.

Katanya, berikutan itu, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala.

Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarganya untuk dikebumikan.

Isteri mangsa, Naemah Abdul Wahab, 48, ketika ditemui berkata, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum kejadian itu.

"Dia sangat gembira apabila dinaik pangkat daripada Jawatan Pembantu Tadbir kepada Ketua Kerani awal bulan ini.

"Namun, arwah hanya dapat merasai kenaikan pangkat itu tak sampai sebulan," katanya.

129 dibaca
Berita Harian X