Rabu, 27 Disember 2017 | 12:25pm
SEORANG lelaki berusia 29 tahun dipercayai rentung apabila kereta PROTON Persona yang dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan di Kilometer 41 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan berhampiran Kulai, awal pagi tadi. -Foto ihsan Bomba

Lelaki maut, isteri, anak cedera kereta terbakar

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki rentung apabila kereta dinaiki bersama isteri dan anaknya terbakar di Kilometer 41, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan, berhampiran Kulai, awal pagi tadi.

Dalam nahas jam 5.55 pagi, mangsa Muhammad Rusdi Yakob, 29, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dipercayai gagal keluar dari kereta Proton Persona yang terbakar.

Dua lagi mangsa, Salwa Atasha Muhamad, 30, yang juga isteri mangsa dan anak mereka, Nuraisha Sofiah, 3, bagaimanapun selamat dan kini dirawat di Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim Kulai.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar, berkata siasatan awal mendapati kereta mangsa dipercayai melanggar belakang lori atau treler berikutan kesan remuk di bahagian depan kereta mangsa.

"Kemalangan itu menyebabkan kereta berkenaan terbakar sepenuhnya. Pemandu kereta dipercayai tersepit dan terperangkap namun, isteri dan anak mangsa yang berada di tempat duduk belakang berjaya diselamatkan pengguna lebuh raya," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dzulkhairi berkata, keadaan lebuh raya ketika kemalangan basah dan licin berikutan hujan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

18 dibaca
Berita Harian X