Selasa, 26 Disember 2017 | 6:19pm
MUHAMMAD Adib Abd Halim didakwa menyebabkan kecederaan ke atas seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun di Mahkamah Majistret Kajang.

Ustaz didakwa cederakan murid

KAJANG: Seorang ustaz yang didakwa mencederakan anak muridnya dengan memukul mangsa menggunakan rotan, pada kedua-dua belah kaki mangsa, berharap supaya dapat menghabiskan perbicaraan kesnya dengan tenang.

Muhammad Adib Abd Halim, 23, yang didakwa di Mahkamah Majistret Kajang selaku Orang Kena Saman (OKS), ketika ditemui pemberita selepas sebutan kes, berkata; "Saya minta doa daripada semua pihak supaya semua urusan dipermudahkan".

Pada prosiding hari ini, enam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) hadir untuk memberi sokongan kepada Muhammad Adib.

Terdahulu, Majistret Nor Afidah Idris menetapkan perbicaraan selama dua hari bermula pada 6 Februari depan, selepas diberitahu bahawa pihak pendakwaan baru menyerahkan laporan perubatan awal mangsa kepada pihak pembelaan.

Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi turut memberitahu mahkamah, pihaknya akan memanggil tujuh saksi pendakwaan termasuk pengadu, iaitu ibu mangsa, doktor dan jurufoto untuk memberikan keterangan.

Pada 28 Ogos lalu, Muhammad Adib didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang pelajar dengan cara memukul dengan rotan di kaki kiri dan kanan mangsa di sebuah sekolah di daerah Hulu Langat di sini, pada 16 Ogos lalu.

Ustaz itu menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X