Selasa, 26 Disember 2017 | 4:08pm
BOMBA mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam van yang terlanggar tempat pembakaran kertas di sebuah tokong di Tebakang, Serian, hari ini.

Sembilan cedera van langgar tokong

SERIAN: Pemandu dan lapan penumpang cedera selepas van yang mereka naiki terlanggar tempat pembakaran kertas dalam upacara keagamaan di sebuah tokong di Tebakang, di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu dipercayai berlaku apabila pemandu van berkenaan gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas.

Berikutan itu, pemandu van berkenaan serta seorang penumpang yang duduk di bahagian hadapan, kedua-duanya lelaki, tersepit di tempat duduk masing-masing.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, orang ramai cuba mengeluarkan kedua-dua mangsa, namun gagal dan mereka menghubungi bomba pada jam 1.17 tengah hari meminta bantuan.

"Empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian dikejarkan ke tempat kejadian dan setibanya di lokasi didapati dua mangsa tersepit.

"Tujuh lagi penumpang iaitu empat wanita, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan, semuanya cedera di muka," katanya.

Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Serian untuk rawatan.

Berita Harian X