Selasa, 26 Disember 2017 | 2:38pm
TEKONG bot, Husni Kamsi, 48, menerangkan sesuatu kepada dua pegawai Maritim Malaysia Kota Kinabalu selepas tiba di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, malam tadi. - Foto ihsan Maritim Malaysia Wilayah Sabah dan Labuan
KRU bot pancing yang dilaporkan karam di perairan berhampiran Pulau Labuan selamat tiba di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, malam tadi. - Foto ihsan Maritim Malaysia Wilayah Sabah dan Labuan

Ikat tong sekeliling bot selamatkan 7 pemancing

KOTA KINABALU: "Kami mengikat tong kosong di sekeliling bot dan membuang air yang masuk ke dalam bot bagi mengelak ia terus tenggelam. Alhamdulillah, usaha berhasil dan syukur kami semua dapat pulang dengan selamat".

Demikian diceritakan tekong bot pancing, Husni Kamsi, 48, ketika dia bersama enam pemancing lain berdepan detik cemas apabila bot dinaiki mereka hampir karam di perairan berhampiran Pulau Labuan dekat sini, pada awal pagi kelmarin.

Husni yang juga penduduk Pulau Gaya di sini, berkata walaupun cemas, mereka semua tidak berputus asa dan nekad melakukan apa sahaja bagi memastikan bot tidak tenggelam.

"Kami keluar memancing sejak malam 21 Disember lalu dalam keadaan cuaca baik. Bagaimanapun, sekitar jam 1 pagi kelmarin tiba-tiba berlaku ribut menyebabkan ombak besar dan air masuk ke dalam bot sehingga enjin mengalami kerosakan.

"Walaupun ada juga kebimbangan, kami tidak berputus asa dan cuba menyelamatkan bot daripada tenggelam. Selepas bot ditimbulkan sepenuhnya kami meneruskan perjalanan pulang ke Pulau Gaya," katanya ketika dihubungi BH di sini, sebentar tadi.

Semua mangsa berumur 15 hingga 54 tahun selamat tiba di Pulau Gaya pada jam 7 malam tadi dalam keadaan lemah dan keletihan.

Kelmarin, berdasarkan maklumat pemancing lain, bot pemancing dinaiki tujuh mangsa itu dilaporkan karam di kedudukan kira-kira 97 batu nautika dari barat laut Labuan atau 117 batu nautika dari barat laut Kota Kinabalu.

Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan dengan Maritim Malaysia menggerakkan Kapal Maritim (KM) Bistari, selain Kapal Diraja (KD) Jerung milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta kapal MV Executive Balance daripada Syarikat Total E & P Malaysia.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Sabah dan Labuan, Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata pihaknya menerima panggilan daripada pemilik bot pancing memaklumkan semua kru bersama bot miliknya yang dilaporkan karam selamat tiba di Pulau Gaya di sini, malam tadi.

"Berikutan itu, operasi SAR membabitkan sektor pencarian seluas 875 batu nautika persegi ditamatkan pada jam 8.30 malam tadi," katanya menerusi kenyataan, pagi tadi.

Berita Harian X