Isnin, 25 Disember 2017 | 3:24pm
Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som. - Foto Izhari Ariffin

SAR tujuh pemancing hilang diperluas

KOTA KINABALU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tujuh pemancing yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka karam di perairan berhampiran Labuan awal pagi semalam diperluaskan lagi hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Sabah dan Labuan, Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata dua Kapal Maritim (KM) digerakkan iaitu KM Bistari dan KM Banggi selain turut dibantu dua kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Katanya, setakat jam 2 petang ini, belum ada sebarang petunjuk ditemui, manakala lima mangsa yang diselamatkan kapal pembekal MV Exectuvie Balance, semalam dijangka dibawa ke Labuan petang ini.

"Usaha pencarian masih diteruskan dengan penambahan aset Maritim Malaysia dan aset TLDM. Kita akan berusaha untuk mengesan semua mangsa dan berharap mereka dapat ditemui dalam keadaan selamat," katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Difahamkan, luas kawasan pencarian bertambah kepada 875 batu nautika persegi hari ini berbanding 25 batu nautika persegi semalam.

Semalam, lima mangsa berumur 19 hingga 31 tahun diselamatkan kapal MV Executive Balance selepas pemancing terbabit yang menaiki lima sampan kecil cuba merapat di sisi kapal berkenaan bagi mendapatkan perlindungan berikutan cuaca buruk pada jam 11 pagi.

Mohd Zubil berkata, lima mangsa terbabit keluar dari bot induk dengan menaiki sampan untuk memancing berhampiran pelantar minyak sebelum merapat ke sisi kapal MV Executive Balance yang berada di lokasi berhampiran untuk mendapatkan perlindungan.

"Sebenarnya ada dua bot pancing sebelum kejadian bot karam pada jam 3 pagi semalam, yang mana bot pertama dinaiki 10 pemancing tetapi lima daripada mereka turun dengan sampan kecil untuk memancing dekat pelantar minyak, manakala lima lagi kekal dalam bot.

"Bot kedua pula dinaiki tujuh pemancing. Ketika cuaca buruk, lima pemancing yang menaiki sampan sempat merapat ke kapal MV Executive Balance dan diselamatkan, manakala lima yang ada di bot induk juga selamat.

"Bagaimanapun, bot pancing yang kedua dilaporkan karam berdasarkan maklumat daripada mangsa yang selamat mengatakan mereka melihat bot itu tenggelam. Semua tujuh mangsa dalam bot itu hilang," katanya.

Berdasarkan maklumat diperolehi Maritim Malaysia, bot pancing berkenaan dipercayai karam di kedudukan kira-kira 97 batu nautika dari barat laut Labuan atau 117 batu nautika dari barat laut Kota Kinabalu.

Berita Harian X