Isnin, 25 Disember 2017 | 2:38pm
ANTARA motosikal yang dirampas polis dalam Ops Samseng Jalanan Rempit di Jalan Kamunting - Taiping. - Foto Nor Raidah Awang

5 ditahan sertai lumba haram

TAIPING: Polis mengeluarkan 25 saman dan menahan lima lelaki termasuk pelajar sekolah dalam Ops Samseng Jalanan Rempit di Jalan Kamunting - Taiping, di sini awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid, berkata saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak ikut syarat, tiada cermin sisi dan motosikal diubah suai.

Katanya, lima lelaki berusia antara 15 hingga 22 tahun termasuk seorang pelajar sekolah ditahan dalam operasi bermula jam 3 hingga 5 pagi itu.

"Ketika membuat pemantauan dan pemerhatian, didapati beberapa motosikal yang ditunggang oleh lima suspek berlumba sesama sendiri, menundukkan badan dan melakukan aksi 'zig zag' dari lampu isyarat berhampiran pasar raya The Store hingga ke pusingan U berhampiran dengan premis Masa Catering.

"Kesemua suspek didapati beberapa kali melakukan pusingan perlumbaan dan aksi berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semua suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

43 dibaca
Berita Harian X