Ahad, 24 Disember 2017 | 9:46pm
Lokasi bot pancing dilaporkan karam di perairan berhampiran Labuan. Gambar ihsan Maritim Malaysia Wilayah Sabah dan Labuan
Bot pancing yang dilaporkan karam akibat dilanda ombak besar dalam cuaca buruk di perairan berhampiran Labuan. - Foto Gambar ihsan Maritim Malaysia Wilayah Sabah dan Labuan

5 selamat, 7 masih hilang bot pancing karam

LABUAN: Lima pemancing selamat manakala tujuh masih hilang selepas sebuah bot pancing dilaporkan karam akibat dipukul ombak kuat dalam cuaca buruk di perairan berhampiran pulau ini, awal pagi tadi.

Difahamkan, mangsa yang selamat berumur 19 hingga 31 tahun disedari kru sebuah kapal pembekal dikenali sebagai MV Executive Balance ketika pemancing terbabit yang menaiki lima sampan kecil cuba merapat di sisi kapal berkenaan bagi mendapatkan perlindungan pada jam 11 pagi tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata maklumat itu kemudian disampaikan kepada Pusat Operasi Daerah Maritim 14 (DM14) Labuan yang diterima pada jam 11.30 pagi tadi.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat disampaikan pemilik kapal pembekal terbabit, bot pancing berkenaan dipercayai karam di kedudukan kira-kira 97 batu nautika dari barat laut Labuan atau 117 batu nautika dari barat laut Kota Kinabalu.

"Pada kira-kira jam 11 pagi tadi lima sampan kecil cuba untuk merapat di sisi kapal pembekal MV Executive Balance untuk meminta perlindungan akibat daripada cuaca buruk.

"Mangsa yang terselamat memaklumkan bahawa bot pancing mereka karam pada kira-kira jam 3 pagi tadi bersama tujuh orang lagi mangsa yang masih belum ditemui.

"Semua mangsa dipercayai ada hubungan keluarga dan berasal dari Pulau Gaya, Kota Kinabalu. Mereka menaiki bot pancing yang belayar dari Pulau Gaya kelmarin (Jumaat)," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Zubil berkata, selepas menerima maklumat itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan segera yang membabitkan sektor pencarian seluas kira-kira yang 25 batu nautika persegi menggunakan aset Maritim Malaysia dari Labuan iaitu Kapal Maritim (KM) Bistari.

Katanya, operasi SAR turut dibantu kapal pembekal MV Executive Balance bersama sebuah bot pancing manakala aset lain khususnya dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan dimohon bagi turut sama membantu pencarian.

"Bot yang dilaporkan karam bernombor pendaftaran PR 2101/2/F dan berwarna merah putih dengan ukuran panjang kira-kira 30 meter dan lebar lima meter," katanya.

Ia kejadian kedua membabitkan bot pancing dilanda ombak besar akibat cuaca buruk di perairan barat Sabah dalam minggu ini dengan satu kes bot pancing hanyut lima hari selepas mengalami kerosakan enjin pada Ahad lalu menyebabkan dua hilang dan tujuh selamat.

Sehubungan itu Mohd Zubil menasihatkan komuniti maritim, persatuan nelayan, persatuan memancing dan individu agar menangguhkan aktiviti di laut kerana keadaan ombak boleh mencapai 4.5 meter dengan angin 60 kilometer sejam disebabkan ribut tropika Tembin ketika ini sangat merbahaya kepada semua aktiviti khususnya di perairan barat Sabah dan Labuan.

Berita Harian X