Ahad, 24 Disember 2017 | 9:04pm
JENAZAH tiga beradik yang maut dalam kemalangan di Kuantan tiba di Masjid Jamek Kampung Binjai untuk disolatkan sebelum dikebumikan. Foto Rosli Ilham.
JENAZAH Wan Mohd Mahathir Wan Mohd Kamaruzaman, 14, yang maut dalam kemalangan bersama dua lagi adik beradiknya tiba di Masjid Jamek Kampung Binjai untuk disolatkan. - Foto Rosli Ilham.
JENAZAH tiga beradik yang terlibat dalam kemalangan di Kuantan tiba di Masjid Jamek Kampung Binjai untuk disolatkan. - Foto Rosli Ilham.

'Syukur sempat mandi, kafankan anak'

CHUKAI: "Walaupun sedih, saya dan isteri tetap bersyukur sempat balik untuk memandi dan kafankan jenazah anak kami," Wan Mohd Kamaruzaman Wan Muhamad, bapa kepada tiga beradik yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Pekan, semalam.

Wan Mohd Kamaruzaman, 56, berkata, dia dan isteri, Rosnani Ibrahim, 53, langsung tidak menyangka dugaan berat itu menimpa ketika mereka sedang mengerjakan umrah di Tanah Suci.

"Sebelum saya dan isteri berangkat, kami semua amat gembira dan sempat menasihati ketiga-tiga mereka supaya berhati-hati dalam perjalanan pulang ke Kemaman.

"Saya juga sempat memesan mereka mendoakan kesihatan kami berdua sepanjang di Tanah Suci, tak sangka pula mereka yang pergi dulu," katanya ketika ditemui di Kemaman, hari ini.

Pasangan itu mendapat berita menyayat hati apabila tiga anak kesayangan mereka, Wan Nor Afifah Wan Mohd Kamaruzzaman, 28,  Wan Nor Athirah Wan Mohd Kamaruzaman, 27 dan Wan Mohd Mahathir Wan Mohd Kamaruzaman, 14, meninggal dunia dalam kemalangan terbabit, sehari selepas tiba di Madinah.

Dalam kejadian jam 5.45 pagi itu, tiga beradik terbabit bersama ibu saudara, Salmah Ibrahim, 56 dan anak Salmah, Aliyani Zawawi, 25, yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV),  Cherry Easter terjunam ke dalam parit sebelum disedari orang ramai, kira-kira jam 7 pagi. 

Bagaimanapun,  dalam kemalangan itu,  Salmah dan Aliyani yang cedera dikejarkan untuk mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan. 

Jenazah ketiga-tiga beradik itu siap dikafankan di Hospital Kemaman sebelum disolatkan di Masjid Jamek Kampung Binjai, kira-kira 7.45 malam ini.

Semua mangsa kemudian dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Kampung Binjai kira-kira jam 8 malam.

924 dibaca
Berita Harian X