Ahad, 24 Disember 2017 | 5:11pm
SEORANG pemuda parah selepas terjatuh ke dalam gaung berbatu sedalam lebih 40 meter ketika sedang mendaki menuju air terjun Bukit Payong, Kangkar Merlimau di Parit Sulong, pagi tadi.

Pemuda parah jatuh dalam gaung berbatu

BATU PAHAT: Seorang pemuda parah selepas terjatuh ke dalam gaung berbatu sedalam lebih 40 meter ketika sedang mendaki menuju air terjun Bukit Payong, Kangkar Merlimau, di Parit Sulong, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.58 pagi itu, mangsa Mohamad Khairi Denin, 23, cedera parah dengan tangan kanan dan kaki kirinya patah selepas tergelincir ke dalam gaung berbatu berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Mohd Asroy Mohd Yahaya, berkata beliau bersama enam anggota dengan jentera bomba dan sebuah pacuan empat roda bomba dikejarkan ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan malim gunung berkenaan.

Katanya, ketika kejadian mangsa sedang mendaki gunung berkenaan bersama enam lagi rakannya untuk mandi di air terjun di situ sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam gaung berbatu di situ.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa berdepan kesukaran berikutan keadaan gunung berkenaan yang licin berikutan hujan malah mangsa jatuh ke dalam gaung berbatu menegak itu.

"Pasukan bomba mengambil masa sejam untuk mendaki serta turun ke kawasan gaung mangsa jatuh sebelum menggunakan peralatan khas termasuk tali dan pengusung bersama beberapa anggota bagi menyelamatkan mangsa.

"Mangsa berjaya dibawa turun dari gunung berkenaan dua jam kemudian sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan lanjut.

"Ini adalah kes kemalangan pertama direkodkan berlaku di Bukit Payong dan orang ramai diminta lebih berhati-hati berikutan keadaan cuaca hujan kebelakangan ini," katanya kepada BH.

Mohd Asroy menasihatkan orang ramai yang mahu melakukan aktiviti pendakian terutama bermalam di hutan lipur atau gunung supaya memaklumkan Balai Bomba dan Penyelamat terlebih dahulu supaya pihak berkuasa dapat memantau dan bersedia segera jika berlaku kecemasan.

59 dibaca
Berita Harian X