Ahad, 24 Disember 2017 | 4:36pm
CHEW Kee Cheong.

Meninggal ketika sertai larian

IPOH: Seorang peserta cabaran larian 50 kilometer (km) meninggal dunia akibat serangan jantung ketika beraksi di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, Chew Kee Cheong, 45, ditemui terbaring di atas trek larian di taman rekreasi yang lebih dikenali sebagai Padang Polo itu oleh peserta lain pertandingan berkenaan.  

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Thamby, berkata lelaki itu dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sebelum disahkan meninggal dunia, kira-kira sejam kemudian.

Katanya, mendiang yang berasal dari Taman Pari di sini mengambil bahagian dalam pertandingan 'Polo 12 Hours Challenge' membabitkan larian sejauh 50km bersama kira-kira 100 peserta, bermula malam tadi.

"Bedah siasat mengesahkan punca kematiannya adalah akibat sakit jantung dan tiada sebarang unsur jenayah ditemui.

"Mendiang sudah berkahwin, mempunyai dua orang anak dan aktif dalam pertandingan larian sejak lama dulu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Ali berkata, mayat mangsa diserahkan kepada keluarga untuk urusan pembakaran tengah hari tadi.

Berita Harian X