Jumaat, 22 Disember 2017 | 3:11pm
SEORANG kru bot pancing yang hanyut akibat kerosakan enjin di perairan Pulau Mengalum ditemui terapung di laut. - Foto ihsan APMM

2 hilang, bot pancing hanyut

KOTA KINABALU: Tujuh selamat, manakala dua dilaporkan hilang selepas sebuah bot pancing hanyut akibat kerosakan enjin di perairan Pulau Mengalum, di sini, sejak Ahad lalu.

Bot itu ditemui terapung berhampiran Pulau Mantanani Kecil, Kota Belud, semalam selepas dilaporkan hilang, kelmarin.

Bot sepanjang 20 meter dan lebar lima meter itu ditemui anggota Kapal Maritim (KM) Berani pada jam 2.20 petang.

Pengarah Maritim Daerah Maritim (DM) 15 Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz, berkata seorang kru bot berkenaan turut ditemui terapung di laut, tidak jauh dari lokasi bot terbabit dalam keadaan selamat.

Beliau berkata, selepas penemuan itu, pihaknya menerima maklumat enam lagi kru dari bot pancing terbabit berada di Pulau Mantanani Kecil pada jam 8 malam tadi, menjadikan tujuh mangsa selamat.

"Anggota KM Berani menemui mangsa, Nordin Majuki, 38, terapung lima batu nautika dari Pulau Mantanani Kecil dan pada masa sama, mengesan sebuah bot terapung kira-kira 6.4 batu nautika dari pulau berkenaan.

"Pada jam 8 malam tadi, Pusat Operasi DM15 menerima maklumat daripada Pengawal Keselamatan Remote Sensor Site (RSS) Mantanani mengatakan ada enam mangsa berada di Pulau Mantanani Kecil," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Adam berkata, semua tujuh mangsa dibawa pulang dan tiba di jeti Maritim Malaysia Sepanggar pada jam 3 pagi tadi.

Katanya, berdasarkan keterangan mangsa yang diselamatkan, dua lagi kru bot pancing berkenaan dilaporkan hilang dan gerakan SAR diteruskan bagi mengesan kedua-dua mangsa.

Berdasarkan siasatan, sembilan lelaki berusia 25 tahun hingga 52 tahun keluar memancing pada Ahad lalu dari Pulau Gaya menghala ke Pulau Mengalum.

Bot dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin ketika tiba di perairan pulau itu pada hari sama.

Keesokannya, tiga kru bot berkenaan menurunkan sampan kecil tanpa enjin untuk meminta bantuan daripada dua bot pelantar minyak yang dikesan berada di lokasi berhampiran, namun gagal apabila sampan berkenaan karam akibat ombak besar.

Adam berkata, enam kru yang berada di bot pancing tidak dapat membantu rakan mereka kerana keadaan laut bergelora.

"Bot pancing itu hanyut hingga ke perairan Pulau Mantanani Kecil dan mereka membuat keputusan berenang ke pulau. Dimaklumkan, mereka mengambil masa 10 jam untuk tiba di pantai," katanya.

Berita Harian X