Isnin, 18 Disember 2017 | 9:42pm

Pemandu lori maut akibat masalah brek

NIBONG TEBAL: Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya terbabas ketika menuruni lereng bukit menghala ke jalan besar di Jalan Bukit Kongsi, di sini, petang tadi.

Dalam kemalangan jam 5 petang, B Jivan, 30, yang memandu lori muatan tanah, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan anggota badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abdul Samad, berkata kemalangan itu dipercayai berlaku apabila lori yang dipandu mangsa mengalami masalah brek sehingga tidak dapat dikawal.

"Akibatnya, mangsa terbabas dan kenderaannya merempuh kawasan lereng bukit.

"Mangsa cedera parah di kepala dan badan berikutan tersepit di tempat duduk," katanya di sini.

Mayat dibawa ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk proses bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

Berita Harian X