Isnin, 18 Disember 2017 | 9:01pm

Kematian model: Polis panggil 48 saksi

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengambil keterangan 48 saksi bagi membantu siasatan kematian seorang model wanita warga Belanda, awal bulan ini.

Ini termasuk saksi di lokasi kejadian, ahli patologi, pengawal keselamatan, pihak pengurusan kondominium, ahli keluarga dan rakan mangsa serta pekerja sebuah pusat hiburan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim, berkata buat masa ini, kematian mangsa masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis masih menunggu laporan bedah siasat daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Kita minta kerjasama orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini.

"Jika mereka mempunyai maklumat, kita minta mereka salurkan kepada pihak polis," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mazlan berkata, pihak polis juga sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pelbagai lokasi seperti di lokasi kejadian serta lokasi mangsa dilihat berada sebelum kejadian.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Faizal Abdullah di talian 012-4834439 atau 03-26002222 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Deputi Superintendan M Gunalan di talian 019-3114418.

Pada 7 Disember lalu, mangsa, Ivana Esther Robert Smit, 18, ditemui mati dalam keadaan bogel di balkoni sebuah unit kediaman di tingkat 6 sebuah kondominium di Persiaran Capsquare selepas terjatuh dari tingkat 20.

Sebelum kejadian, Ivana bersama pemilik kediaman yang juga seorang lelaki warga Amerika Syarikat dan isterinya, warga Kazakhstan, dilaporkan keluar minum di sebuah premis hiburan di Bangsar.

Selepas berhibur, ketiga-tiga mereka dilaporkan kembali ke kondominium itu sebelum pasangan suami isteri terbabit masuk ke bilik tidur, manakala Ivana berehat di ruang tamu rumah.

Bagaimanapun, Ivana yang tidak berpakaian dipercayai pergi ke balkoni dan terjatuh sehingga menerobos sengkuap balkoni kediaman di tingkat 6 sebelum mendarat di balkoni unit berkenaan.

Ivana yang pernah menang tempat ketiga dalam pertandingan 'Malaysia Supermodel Search 2014' ketika berusia 15 tahun, didapati turut memiliki kewarganegaraan Belgium.

Dalam pada itu, media luar negara melaporkan, keluarga Ivana dikatakan menghubungi Kedutaan Belanda serta Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan mahu siasatan penuh dijalankan kerana mengesyaki mangsa dibunuh dan bukan terjatuh atau bunuh diri.

Berita Harian X