Isnin, 18 Disember 2017 | 7:17pm
SEORANG pemandu ambulans terpaksa menerima empat jahitan di kening akibat ditumbuk kumpulan mat rempit berhampiran Plaza Tol Taiping Utara, Lebuhraya Utara Selatan awal pagi Ahad. - Foto Ihsan Mangsa

Mat rempit belasah pemandu ambulans dikenal pasti

TAIPING: Polis sudah mengenal pasti sekumpulan mat rempit yang membelasah pemandu ambulans berhampiran Plaza Tol Taiping Utara, di sini awal pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid, berkata berdasarkan maklumat dan keterangan mangsa, polis sudah mengenal pasti tiga daripada mereka.

"Seorang daripadanya dijangka menyerah diri malam ini. Difahamkan, keluarga mat rempit itu akan hadir ke balai polis untuk menyerahkan suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

BH Online malam tadi melaporkan seorang pemandu ambulans terpaksa menerima empat jahitan di muka selepas tindakannya menegur sekumpulan mat rempit yang sedang berlumba, mendatangkan kemarahan kumpulan remaja berkenaan.

Dalam kejadian jam 1.40 pagi itu, pemandu berusia 53 tahun itu cedera di kening kanan, manakala seorang jururawat wanita dalam ambulans itu diterajang, dipercayai dilakukan antara empat hingga enam mat rempit.

Mangsa yang enggan dikenali, berkata ketika kejadian dia bersama seorang pembantu perubatan dan seorang jururawat dalam perjalanan membawa pesakit dari Hospital Parit Buntar ke Hospital Taiping.

Razlan berkata, polis menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sementara itu, mangsa ketika dihubungi berharap semua mat rempit yang membelasahnya dapat ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang. 

Beliau yang mengambil cuti sakit selama dua hari berkata, kening dan mata kanannya masih bengkak akibat ditumbuk hingga luka serta terpaksa dijahit, serta mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama pihak pengurusan Hospital Parit Buntar, tempatnya bekerja, yang prihatin dengan kecederaannya.

19 dibaca
Berita Harian X