Jumaat, 15 Disember 2017 | 9:59pm

Kanak-kanak 6 tahun dikhuatiri lemas

KOTA SAMARAHAN: Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di jeti Kampung Melayu, di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu berlaku ketika mangsa, Aifan Haraman, 6, bermain di jeti berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 4.37 petang.

Sehubungan itu, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Operasi mencari dan menyelamat kemudian dilancarkan membabitkan anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung.

"Sehingga kini, kanak-kanak berkenaan masih belum ditemui dan pencarian akan diteruskan esok," katanya.

Berita Harian X