Khamis, 14 Disember 2017 | 6:33pm
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Afzanizar Ahmad (dua dari kiri) menyoal siasat penagih wanita yang ditahan pada Ops Sarang anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah dan AADK negeri di Sungai Udang. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Polis Melaka cekup 101 penagih dadah

MELAKA: Polis Melaka menahan 101 penagih dadah, termasuk seorang wanita dalam serbuan di dua lokasi 'panas' sarang penagihan dadah di daerah Melaka Tengah, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata dalam Op Sarang selama 10 jam bermula jam 3.30 pagi itu, kesemua yang ditahan berusia 18 hingga 60 tahun, termasuk seorang wanita berusia 28 tahun.

Kesemua penagih dadah yang ditahan adalah warga tempatan.


Seramai 101 penagih dadah termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan selama lebih 10 jam di dua lokasi panas daerah Melaka Tengah ketika Ops Sarang anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah dan AADK negeri di Krubong dan Sungai Udang. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Beliau berkata, operasi bersepadu yang diketuai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama enam pegawai dan 51 anggota itu menyerbu dua lokasi panas penagihan dadah iaitu di kawasan kelapa sawit di belakang Penjara Sungai Udang dan bekas tapak pelupusan sampah di Krubong, di sini.

"Melalui risikan serta maklumat yang dibuat, hasilnya seramai 48 orang dari Krubong, dan 53 orang dari Sungai Udang ditahan dalam Op Sarang ini.

"Siasatan lanjut mendapati lapan individu mempunyai rekod jenayah lampau termasuk waran tangkap," katanya pada sidang media, di sini, petang tadi.


Antara penagih dadah yang ditahan pada Ops Sarang anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah dan AADK negeri di kawasan kelapa sawit belakang Penjara Sungai Udang. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Afzanizar berkata, pihaknya turut merampas dadah jenis heroin seberat 20 gram dan syabu (5.3 gram) daripada seorang penagih berusia 20-an dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM800.

"Kesemua penagih warga tempatan yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983," katanya.

Berita Harian X