Khamis, 14 Disember 2017 | 12:50pm
ANGGOTA bomba membawa mayat kanak-kanak berusia 12 tahun yang jatuh ketika memancing di Kampung Sungai Makmur, Plentong, Johor. - Foto Ihsan Bomba

Mayat murid lemas ditemui

JOHOR BAHRU: Kanak-kanak yang hilang selepas terjatuh ketika memancing di Kampung Sungai Makmur, Plentong di sini kelmarin, ditemui lemas pagi tadi.

Mayat Muhammad Fareezuan Anuar, 12, ditemui pasukan mencari dan menyelamat di kawasan sungai berhampiran Permas Jaya pada jam 10.20 pagi tadi, kira-kira 10 kilometer (km) dari lokasi mangsa terjatuh.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Mohd Anuar Amdzah, berkata mayat mangsa dibawa ke jeti Stulang Laut dekat sini, sebelum keluarga mangsa melakukan pengecaman.

"Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.30 petang kelmarin, mangsa dikatakan terjatuh ketika memancing bersama adiknya dan enam rakan mereka.

Berita Harian X