Rabu, 13 Disember 2017 | 6:25pm

Kanak-kanak maut tertembak senapang moyang

POKOK SENA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut selepas dipercayai terkena tembakan senapang patah yang terjatuh di rumah datuknya di Kampung Empa, Pokok Sena, dekat sini hari ini.

Kejadian dipercayai ketika mangsa, Puteri Intan Sharini Mohd Hishamuddin, sedang berbaring sambil menonton televisyen berseorangan di ruang tamu rumah datuknya, kira-kira jam 11 pagi.

Berdasarkan maklumat, senapang patah milik moyang mangsa yang disandarkan pada dinding, dikatakan terjatuh dan tertembak sendiri yang mengenai kepala anak sulung daripada empat beradik itu.

Bapa kanak-kanak itu, Mohd Hishamuddin Azmi, 34, ketika ditemui mengesahkan moyang mangsa yang berusia 80 tahun memiliki senjata api yang sering digunakan untuk berburu, namun tidak tahu bagaimana kejadian sebenar.

Katanya, dia hanya mengetahui kejadian menimpa Puteri selepas dimaklumkan bekas isteri ketika sedang bekerja di Jitra, sebelum bergegas ke lokasi.

"Hati saya sebak melihat keadaan Puteri dan langsung tidak menyangka dia pergi dalam keadaan begini. Kali terakhir saya menghubungi Puteri minggu lalu dan ketika itu dia maklumkan ingin membeli peralatan sekolah.

"Saya bercadang bawa dia (beli peralatan sekolah) Jumaat ini, namun tak sangka tidak kesampaian," katanya.

Mangsa, murid Sekolah Kebangsaan Penghulu Darus, Wang Tepus di Jitra, tinggal bersama datuk, nenek serta dua bapa dan ibu saudaranya selepas Mohd Hishamuddin dan isteri, Wan Nor Suriati Wan Masri, 26, berpisah kira-kira tiga tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian, namun tidak mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan.

KANAK-KANAK berusia lapan tahun, Puteri Intan Sharini Mohd Hishamuddin (tengah) yang maut selepas dipercayai terkena tembakan senapang patah milik moyangnya di Kampung Empa, Pokok Sena, dekat sini. - Foto Ihsan Pembaca
Berita Harian X