Rabu, 13 Disember 2017 | 4:16pm

Wanita maut sesak nafas dalam kebakaran

YAN: Seorang wanita warga emas maut akibat sesak nafas selepas rumahnya di Kampung Singkir Laut, di sini, hangus dalam kebakaran pagi tadi.

Mangsa, Fauziah Abdullah, 69, disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan yang bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mokhtar, berkata pihaknya menerima panggilan jam 11.40 pagi, sebelum anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan dan Guar Chempedak, dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba kebakaran didapati membabitkan sebuah rumah setingkat dan seorang mangsa didapati meninggal dunia selepas disahkan petugas Kementerian Kesihatan.

"Anggota segera melakukan pengawalan dan pemadaman dengan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tanjung Dawai, Bedong dan Guar Chempedak," katanya.

Berita Harian X