Rabu, 13 Disember 2017 | 1:30pm

Pemandu treler parah tersepit

ALOR GAJAH: Seorang pemandu treler parah selepas kenderaan dipandunya merempuh sebuah lagi treler dalam kemalangan di Kilometer 214.8, Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan, di sini, pagi tadi.

Nahas berlaku jam 5.40 pagi apabila pemandu treler jenis Mercedes Benz itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya, sebelum merempuh sebuah lagi treler jenis Nissan Diesel pada bahagian depan.

Terdahulu, pemandu treler Nissan Diesel berkenaan dikatakan sudah memberhentikan kenderaannya susulan berlaku kemalangan awal membabitkan sebuah lori membawa muatan buah dan sayuran yang terbalik dan menghalang laluan pada jarak kira-kira 100 meter di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abd Aziz, berkata pemandu treler Mercedes Benz terbabit dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor, manakala seorang lagi pemandu treler dalam perjalanan dari Songkhla, Thailand ke Singapura.

"Mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu kemudian dibawa keluar oleh anggota bomba, sebelum dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Bagaimanapun, katanya, seorang lagi pemandu treler dan pemandu lori yang terbalik tidak cedera.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X