Isnin, 11 Disember 2017 | 7:32pm

3 beradik maut: Pemandu treler direman

IPOH: Pemandu treler berusia 24 tahun yang merempuh empat kenderaan sehingga menyebabkan tiga beradik maut, direman tiga hari bermula hari ini.

Majistret Raja Shahril Anuar Raja Baniamin membenarkan suspek direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Mat Isa, mengesahkan penahanan reman itu yang dikeluarkan Mahmakah Majistret Gerik.

Dalam kejadian jam 11 pagi semalam, treler membawa sisa ikan itu merempuh empat kenderaan iaitu Honda HRV, Nissan Grand Livina, Toyota Hilux dan Nissan Sentra, yang berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuala Kangsar-Gerik berhampiran Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Lenggong.

Kemalangan itu meragut nyawa tiga beradik, Muhammad Hanif Ismail, 8, dan kembarnya, Nur Ain Hanifah serta kakak mereka, Nur Ain Hafizah, 22, yang menaiki kereta Honda HRV.

Selain itu, bapa mereka, Ismail Yaacob, 53, dan ibu, Zarina Yong, 44, parah, manakala seorang lagi adik-beradik mereka, Nur Ain Harizah, 13, cedera.

Dua yang menaiki kereta Nissan Grand Livina juga cedera.

Berita Harian X