Isnin, 11 Disember 2017 | 4:50pm
ZARINA Yong yang terselamat dalam kemalangan di Jalan Kuala Kangsar- Gerik berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong ketika ditemui di Hospital Taiping. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Reda tidak tatap wajah anak kali akhir

TAIPING: Ibu kepada tiga beradik yang maut dalam kemalangan di Lenggong semalam, tabah walaupun tidak dapat menatap wajah anaknya bagi kali terakhir ketika semua jenazah anaknya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kuin, Kuantan, pagi tadi.

"Saya reda dengan pemergian anak-anak, mereka semua menunggu saya di syurga," kata Zarina Yong, 44, yang kini dirawat di Hospital Taiping (HT) di sini akibat kemalangan sama.

Dalam kemalangan jam 11 pagi di simpang empat lampu isyarat dekat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Jalan Kuala Kangsar-Gerik, Lenggong semalam, Muhammad Hanif Ismail, 8, dan kembarnya, Nur Ain Hanifah serta kakak mereka, Nur Ain Hafizah, 22, maut selepas kenderaan Honda HRV dinaiki bersama tiga lagi ahli keluarga dirempuh dari belakang oleh treler membawa sisa ikan.

Kemalangan turut menyebabkan Zarina dan suaminya, Ismail Yaacob, 53, parah manakala seorang lagi anak pasangan itu, Nur Ain Harizah, 13, yang duduk di bangku penumpang belakang bersama adik kembar dan kakaknya, cedera ringan.

Zarina yang tidak dapat menghadiri pengebumian itu kerana menjalani rawatan di HT bersama suaminya yang turut dirawat di hospital sama mengetahui pemergian ketiga-tiga anak kesayangannya itu serta majlis pengebumian yang diuruskan oleh sanak saudara mereka di Kuantan.

Mengimbas semula kejadian semalam, Zarina berkata mereka sekeluarga sememangnya dalam perjalanan pulang ke Terengganu dari rumah anak sulung di Baling, Kedah selepas menjemput Nur Ain Hafizah yang sedang menuntut di sebuah kolej kejururawatan di Sungai Petani.

"Kami memang sudah dalam perjalanan untuk pulang namun berpatah balik kerana mahu singgah makan durian di Perak.

"Ketika kejadian, segalanya berlaku dalam sekelip mata dan saya langsung tidak sedarkan diri," katanya.

Kakak Zarina, Jamilah, 51, berkata adiknya itu sudah mempunyai naluri bahawa tiga anaknya sudah tiada.

"Kami pada awalnya tidak mahu memberitahu anaknya sudah meninggal dunia kerana risau dengan keadaannya yang baru sahaja menjalani rawatan, namun dia sendiri memberitahu dia tahu tiga anaknya itu sudah tiada kerana dapat melihat bayangan anaknya datang menemuinya dan melambai pergi," katanya.

Sementara itu, Nur Ain Harizah berkata, sebelum kejadian berlaku adik kembarnya memaklumkan mereka teringin untuk menaiki kereta api.

Katanya, ketika kemalangan dia tidak sedarkan diri hinggalah terjaga sebelum mendapati berada di bawah sebuah bangsal selepas dikeluarkan oleh orang ramai.

"Sejurus sebelum pelanggaran, kami sedang bermain permainan video dan makan keropok. Kami juga tidak mendengar bunyi hon lori yang melanggar kami," katanya.

Berita Harian X