Isnin, 11 Disember 2017 | 2:38pm

3 beradik dikebumi satu liang

KUANTAN: Jenazah tiga beradik yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuala Kangsar-Gerik berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong, Gerik semalam, selamat dikebumikan hari ini.

Jenazah pasangan kembar Muhammad Hanif Ismail dan Nur Ain Hanifah berusia lapan tahun serta kakak mereka Nur Ain Hafizah, 22, dikebumi dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kuin, Kuantan, kira-kira jam 12 tengah hari tadi selepas dibawa dari Hospital Gerik, kira-kira jam 2 pagi tadi.

Ibu saudara mangsa, Ramelah Yaakob, 54, berkata jenazah semua anak saudaranya itu dikebumikan di kawasan berkenaan kerana ibu mereka berasal dari Kuantan.

"Saya bertolak dari Dungun pada jam 7 pagi tadi untuk hadir pengebumian mereka...agak terkilan tidak sempat tengok mereka tiga beradik terutama pasangan kembar berkenaan rapat dengan saya.


AHLI keluarga menyiram air mawar ke atas pusara tiga beradik yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuala Kangsar-Gerik, di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kuin, Kuantan. - Foto Farizul Hafiz Awang

"Seakan tidak percaya mereka sudah tiada...tak tahu bagaimana nak gambarkan perasaan ini kerana memang terkejut apabila mendengar berita ini semalam," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai pengebumian tiga beradik berkenaan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi semalam, tiga beradik berkenaan maut manakala bapa serta ibu mereka iaitu Ismail Yaacob, 53, dan Zarina Yong, 44, parah dan seorang lagi adik beradik mereka Nur Ain Harizah, 13, cedera.

Kemalangan dikatakan berlaku selepas sebuah treler dari arah Gerik ke Kuala Kangsar dipercayai mempunyai masalah brek melanggar keempat-empat kenderaan yang berhenti di lampu isyarat simpang empat MRSM Lenggong.

Ramelah berharap adik lelakinya dan isteri yang kini sedang dirawat di Hospital Taiping segera sedarkan diri malah beliau turut merancang untuk melawat mereka di hospital itu hari ini.


REAKSI ahli keluarga dan kenalan yang hadir pada pengebumian tiga beradik yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuala Kangsar-Gerik, di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kuin, Kuantan. - Foto Farizul Hafiz Awang
JENAZAH tiga beradik yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuala Kangsar-Gerik dikebumi dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kuin, Kuantan. - Foto Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X