Isnin, 11 Disember 2017 | 12:51pm
POLIS menahan 119 remaja melakukan pelbagai kesalahan dalam Ops Samseng Jalanan, di sekitar Kuala Perlis, semalam.

170 'mat rempit' tolak motosikal 3km ke balai polis

KANGAR: Polis menahan 119 remaja melakukan pelbagai kesalahan dalam Ops Samseng Jalanan, di sekitar Kuala Perlis, semalam, yang kerap menjadi tumpuan aktiviti lumba haram.

Semua remaja berusia antara 14 hingga 17 tahun, antara 170 penunggang dan pembonceng motosikal ditahan untuk tujuan pemeriksaan di sekitar 'port' lumba haram itu, sebelum diarah menolak motosikal sejauh tiga kilometer ke Balai Polis Kuala Perlis, dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perlis, Deputi Superintendan Rusli Yahaya, berkata operasi jam 5 petang sehingga 10 malam menumpukan kepada remaja bawah umur yang menunggang motosikal tanpa lesen sempena dengan cuti panjang persekolahan.

Katanya, pihaknya menerima laporan Kuala Perlis menjadi tumpuan remaja bawah umur menunggang motosikal untuk berkumpul di bahu lebuh raya dan berlumba.

"Seramai 170 penunggang dan pembonceng berusia antara 14 hingga 25 tahun diarah menolak motosikal masing-masing ke Balai Polis Kuala Perlis.

"Pemeriksaan mendapati 119 remaja dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

"Sebanyak 200 saman dikeluarkan dalam operasi semalam dan 37 motosikal disita atas pelbagai kesalahan majoritinya menunggang motosikal tanpa lesen dan kesalahan membabitkan pengubahsuaian motosikal.

"Kita juga menahan dua penunggang motosikal berusia 18 dan 21 tahun selepas disyaki berlumba untuk tindakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Rusli berkata, beberapa remaja bawah umur cuba melarikan diri daripada sekatan selepas menyedari kehadiran polis dengan menunggang motosikal melalui jalan sawah yang sempit dan berlumpur, bagaimanapun berjaya ditahan.

"Rata-rata mereka ketika ditahan memberikan alasan tiada lesen dan melarikan diri kerana takut ditahan polis," katanya.

Seramai 29 pegawai dan anggota JSPT terbabit dalam operasi berkenaan.

24 dibaca
Berita Harian X