Isnin, 11 Disember 2017 | 12:48am
GAMBAR keluarga Ismail Yaacob dan isteri Zarina Yong. Dalam kemalangan di Jalan Kuala Kangsar- Gerik berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong. - Foto ihsan media

`Mereka ibarat anak sendiri'

DUNGUN: "Luluh hati saya mendapat tahu tiga beradik itu maut dalam kemalangan".

Demikian kata Zainun Mohamad, 44, jiran kepada Ismail Yaacub, 53 dan isterinya, Zarina Yong, 44, yang terbabit nahas di Lenggong, Perak, pagi tadi, sehingga mengorbankan tiga anak mereka.

Zainun berkata, beliau sudah 21 tahun hidup berjiran dengan keluarga Ismail yang bertugas sebagai Guru Besar Sekolah Kebangsaan Santong, Paka, di sini.

"Mereka semua sangat baik dan rapat dengan keluarga saya. Malah, memang kami cukup rapat dengan semua anak Ismail kerana dari kecil .

"Kami anggap mereka macam anak sendiri," katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Balai Besar, di sini, malam tadi.

Zainun berkata, kali terakhir beliau bertemu keluarga berkenaan adalah pada Rabu lalu dan mereka memaklumkan mahu ke Kedah untuk mengambil anak perempuan mereka yang menjalani latihan praktikal di sana.

"Anaknya itu, Nur Ain Hafizah, 22, turut meninggal dalam kemalangan itu," katanya. 

Zainun berkata, dua minggu lalu, pasangan itu mengadakan majlis pernikahan dua anak lelaki mereka.

"Seorang daripada menantu mereka berasal dari Baling, Kedah. Mungkin juga perjalanan mereka itu mahu berkunjung ke rumah keluarga menantu," katanya. 

Beliau berkata, pasangan kembar yang maut, Muhammad Hanif Ismail dan Nur Ain Hanifah, 8, kelihatan riang ketika mandi dalam hujan lebat di halaman rumahnya, baru-baru ini.

"Saya masih terbayang lagi suami sering menyuapkan nasi kepada anak-anak ini ketika mereka kecil," katanya.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11 pagi tadi, kembar dan kakak mereka, maut selepas kenderaan Honda HRV dinaiki mereka serta tiga lagi kenderaan lain dirempuh treler membawa sisa ikan.

Kejadian berlaku ketika kenderaan itu berhenti di simpang empat lampu isyarat dekat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Jalan Kuala Kangsar-Gerik, Lenggong.

Kemalangan turut menyebabkan Ismail dan Zarina cedera, manakala seorang lagi anak pasangan itu, Nur Ain Harizah, 13, yang duduk di bangku penumpang belakang bersama adik kembar dan kakaknya, cedera ringan.

Berita Harian X