Ahad, 10 Disember 2017 | 7:10pm
KEMALANGAN melibatkan sebuah lori treler dengan tiga buah kereta di persimpangan lampu isyarat ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong.Dalam kejadian tersebut tiga orang maut di tempat kejadian. - Foto Muhaizan Yahya
KEMALANGAN melibatkan sebuah lori treler dengan tiga buah kereta di persimpangan lampu isyarat ke MRSM Lenggong. - Foto Muhaizan Yahya
KHAIRUL Azuan saksi kejadian kemalangan maut membabitkan sebuah treler dan empat kenderaan di Jalan Kuala Kangsar- Gerik berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong. - Foto Muhaizan Yahya
KEMBAR berusia 8 tahun, Muhd Hanif Ismail (depan, kanan) dan Nur Ain Hanifah Ismail (depan, kiri), bersama kakak mereka Nur Ain Hafizah, 22, dan ahli keluarga. - Gambar ihsan

"Treler rempuh, seret kereta ke dalam parit" - saksi

LENGGONG: "Ketika menurunkan durian di gerai kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian, saya dikejutkan dentuman kuat dan sebaik berpaling, nampak treler sedang mengheret sebuah kereta sehingga ke dalam parit di sebelah kanan jalan.

"Ketika itu juga saya nampak ada kenderaan lain terpelanting. Ketika berkejar ke situ, ada seorang budak berada dalam keadaan tersembam di atas jalan dan sudah tak bergerak lagi," kata Khairul Azuan Mohamed Noor, 33.

Khairul Azwan adalah antara saksi yang berada di lokasi kemalangan maut membabitkan sebuah treler dan empat kenderaan di simpang empat lampu isyarat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong di Jalan Kuala Kangsar-Gerik, di sini, jam 11 pagi tadi.

Dalam kejadian di Kampung Changkat Berangan itu, tiga maut dan lima cedera termasuk dua parah selepas treler membawa sisa ikan merempuh empat kenderaan iaitu Nissan Grand Livina, Honda HRV, Toyota Hilux dan Nissan Sentra yang berhenti kerana isyarat lampu merah di simpang empat itu.

Mangsa yang terbunuh terdiri daripada pasangan kembar, Muhammad Hanif Ismail dan Nur Ain Hanifah berusia lapan tahun dan kakak mereka, Nur Ain Hafizah, 22.

Bapa dan ibu mereka iaitu Ismail Yaacob, 53, dan Zarina Yong, 44, parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Taiping manakala seorang lagi adik beradik mereka Nur Ain Harizah,13, cedera ringan.

Dua lagi mangsa menaiki Nissan Grand Livina turut mengalami kecederaan.

Khairul Azwan berkata, dia bergegas untuk melihat kereta Nissan Sentra yang diseret treler berkenaan sebelum mendapati pemandunya terselamat dan mampu keluar sendiri dari keretanya, sebelum beliau membantu menarik tangan mangsa ke atas tebing parit di tepi jalan.

Katanya, dia juga melihat seorang mangsa dipercayai penumpang Honda HRV yang dipercayai terpelanting keluar berada dalam keadaan tersembam sudah tidak bergerak di atas jalan, namun tidak berani menyentuhnya sebelum membantu mangsa lain di dalam kenderaan itu.

"Pemandu dan penumpang hadapan Honda HRV saya lihat masih bergerak namun dalam keadaan mengerang kesakitan, dua penumpang belakang dalam keadaan terlipat dan tidak sedarkan diri manakala seorang lagi penumpang belakang sedang menangis.

"Saya kemudian membantu membuka pintu bagi membolehkan mangsa yang menangis keluar sebelum mengeluarkan pemandu.

"Anggota bomba kemudian tiba membantu mengeluarkan penumpang hadapan yang tersepit dan dua lagi mangsa di bangku belakang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Khairul Azwan berkata, anggota bomba yang tiba mengeluarkan dua mangsa yang tersepit manakala pemandu serta kelindan treler membawa muatan ikan pula tidak mengalami kecederaan.

Berita Harian X