Ahad, 10 Disember 2017 | 6:58pm
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kejadian kemalangan melibatkan tiga buah kereta dan sebuah lori treler dekat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong pagi ini. - Foto BERNAMA

'Tiga beradik korban treler rosak brek'

LENGGONG: Perjalanan enam sekeluarga dari Terengganu bercuti di Perak, berakhir tragedi apabila tiga terbunuh termasuk sepasang kembar, selepas kenderaan mereka dirempuh dari belakang oleh treler, ketika berhenti di persimpangan empat lampu isyarat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong di sini, pagi tadi.

Dalam nahas jam 11 pagi di Jalan Kuala Kangsar-Gerik itu, pasangan kembar Muhammad Hanif Ismail, 8 dan Nur Ain Hanifah serta kakak mereka, Nur Ain Hafizah, 22, mati di tempat kejadian.

Manakala ibu bapa mereka, Ismail Yaacob, 53 dan Zarina Yong, 44, yang berasal dari Kampung Balai Besar, Dungun, Terengganu, cedera parah. Seorang lagi anak pasangan itu, Nur Ain Harizah, 13, yang duduk di belakang bersama adik kembar dan kakaknya, cedera ringan.

Selain kenderaan utiliti sukan, Honda HRV, dinaiki keluarga terbabit, treler muatan sisa ikan yang dipercayai mengalami masalah brek itu, turut merempuh tiga lagi kenderaan iaitu Nissan Grand Livina, Toyota Hilux dan Nissan Sentra, yang berhenti kerana isyarat lampu merah di situ.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Mat Isa, berkata selain enam beranak terbabit, dua lagi mangsa yang cedera berada dalam Nissan Grand Livina.

"Siasatan awal mendapati treler berkenaan dari arah Gerik ke Kuala Kangsar, dipercayai mempunyai masalah brek sebelum melanggar empat kenderaan itu yang berhenti di simpang empat MRSM Lenggong kerana isyarat lampu merah.

"Tiga mangsa yang terbunuh dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat, sementara siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Ismail berkata, keluarga terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Terengganu untuk bercuti di Kuala Kangsar.

Berita Harian X