Sabtu, 9 Disember 2017 | 5:56pm
SEORANG kerani terbunuh selepas kenderaannya merempuh sebatang pokok di Jalan Kuantan-Segamat, dekat Rompin. - Foto ihsan PDRM

Kerani terbunuh kereta rempuh pokok

ROMPIN: Seorang kerani terbunuh selepas kereta PERODUA Viva dinaiki bersama enam saudaranya merempuh sebatang pokok di Kilometer 107 Jalan Kuantan - Segamat, berhampiran Ladang Darateh, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2.50 petang itu, mangsa penumpang hadapan, Norashimah Mihat, 35, berasal dari Kampung Rekoh Baru, Muadzam Shah, di sini, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian leher.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azly Mohd Noor berkata, pemandu kenderaan itu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, Irfan Fahmi Ideham, 19, dan penumpang belakang, Normala Mohamed, 34, pula mengalami kecederaan parah.

Katanya, dua lagi penumpang belakang iaitu Nur Nazatul Isma Ahmad Faizal, 10, dan Muhammad Fakrul Hakimi Imrol, 12, hanya cedera ringan manakala tiga lagi penumpang tidak cedera.

"Siasatan mendapati kenderaan dinaiki mereka dalam perjalanan ke Muadzam Shah dari Kuantan, ketika di lokasi kejadian ia terbabas ke bahagian kiri jalan dan melanggar sebatang pokok.

"Ketika kejadian keadaan cuaca hujan dan permukaan jalan rata, semua mangsa dibawa ke Hospital Rompin dengan bantuan orang awam.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kemalangan berasingan, seorang pengawal keselamatan maut selepas terjatuh daripada motosikal Demak Evo Z ditunggang sebelum digilis sebuah kenderaan, di Kilometer 118.4 Jalan Kuantan-Johor Bahru, dekat Leban Condong, di sini, kira-kira jam 7.30 malam.

Azly berkata, mangsa, Nor Asyidah Hadran, 27, berasal dari Kampung Leban Condong, maut akibat cedera di kepala, patah tangan dan paha.

"Ketika kejadian mangsa dikatakan cuba mengelak sebatang pokok tumbang di kiri jalan, namun dia hilang kawalan lalu terjatuh atas jalan akibat jalan licin.

"Pada masa sama sebuah kenderaan tidak dikenal pasti datang dari belakang dan tidak sempat mengelak daripada melanggar mangsa yang sedang terbaring di atas jalan," katanya.

91 dibaca
Berita Harian X