Sabtu, 9 Disember 2017 | 2:47pm

Lelaki dipukul akibat salah faham

IPOH: Seorang lelaki berusia cedera akibat dipukul dua lelaki menggunakan topi keledar dan penutup tong sampah di tempat letak kereta di pusat beli belah di Jalan Sultan Idris Shah, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Thamby, berkata kejadian pada jam 9.30 malam dipercayai berpunca daripada akibat salah faham selepas mangsa menegur seorang daripada suspek berusia 40 tahun kerana memakai sarung kaki dan selipar.

Katanya, suspek yang bersama-sama isteri dan adik iparnya mempersoalkan teguran mangsa yang berusia 33 tahun.

"Isteri suspek bertanyakan mangsa mengapa berkata demikian kepada suaminya begitu dan memberitahu suaminya seorang samseng, sebelum mangsa dipercayai menumbuk serta menampar wanita itu.

"Susulan kejadian itu, suspek dan adik iparnya kemudian terus memukul mangsa menggunakan topi keledar dan penutup tong sampah.

"Mangsa cedera kerana kedua-dua suspek memukul di kepala," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika disoal siasat, suspek mengaku melakukan perbuatan itu disebabkan terlalu marah kerana mangsa bertindak menampar dan menumbuk isterinya.

"Mangsa dan suspek tidak bermusuh serta tidak mengenali antara satu sama lain dan ketika kejadian berkenaan kali pertama mereka berjumpa.

"Kedua-duanya membuat laporan polis, namun menarik laporan itu kerana mahu berdamai," katanya.

36 dibaca
Berita Harian X