Jumaat, 8 Disember 2017 | 7:53pm
OPERASI mencari dan menyelamat mangsa yang dilaporkan hilang di Kampung Beliong, Asajaya hari ini. - Foto Ihsan Bomba

Tiga lelaki hilang di tiga lokasi berasingan

KUCHING:  Tiga lelaki dilaporkan hilang di tiga lokasi berbeza dan masa berasingan iaitu di Asajaya, Gedong dan Padawan.

Mangsa pertama, Subehi Mu, 60, dilaporkan hilang di Kampung Beliong, Asajaya sejak jam 3 petang 4 Disember lalu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa dikatakan pernah hilang sebelum ini, namun kembali semula ke rumahnya selepas tiga hari.

"Bagaimanapun kali ini mangsa dikhuatiri hilang di hutan berdekatan dan pencarian pada hari ketiga hari ini ditumpukan di kawasan hutan dan sungai.

"Operasi mencari dan menyelamat mangsa membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan serta anggota STORM Zon 1 dari BBP Tabuan Jaya," katanya.


OPERASI mencari dan menyelamat mangsa yang dilaporkan hilang di Kampung Beliong, Asajaya hari ini. - Foto Ihsan Bomba

Mangsa kedua, Ambing Lumbu, pula dilaporkan hilang di hutan berdekatan Kampung Kuap, Batu 10, Padawan.

Mangsa yang berusia 78 tahun yang mengalami masalah jantung selain nyanyuk dilaporkan hilang sejak 5 Disember lalu.

"Operasi mencari dan menyelamat mangsa membabitkan 10 anggota dari BBP Siburan dibantu anggota dari BBP Serian dan BBP Batu Lintang.

"Operasi ditangguhkan pada jam 4 petang tadi berikutan hujan lebat selain keadaan semakin gelap," katanya.

Mangsa ketiga, Ariff Bagoh, 42, pula dilaporkan hilang di sungai berdekatan Kampung Sebemban, Gedong.

Mangsa dikatakan keluar untuk memancing pada jam 10 malam, 6 Disember lalu dan kehilangannya hanya disedari selepas dia tidak balik ke rumah keesokan harinya.

"Keluarganya keluar mencari mangsa di sungai berkenaan semalam, dan pada jam 4 petang mereka menemui peralatan memancing milik mangsa di tebing sungai.

"Berikutan penemuan alat memancing itu, keluarganya membuat laporan di Balai Polis Serian," katanya.

Beliau berkata, BBP Serian menerima panggilan daripada polis pada jam 7.23 petang semalam dan anggota ke lokasi untuk mendapatkan maklumat sebelum pencarian dilancarkan pagi tadi.

"Ketiga-tiga operasi ditangguhkan petang ini dan akan disambung semula esok," katanya.

20 dibaca
Berita Harian X