Isnin, 4 Disember 2017 | 11:59am
DUA maut dan empat cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 102.8 Jalan Kuantan - Segamat dekat Muadzam Shah lewat petang tadi. Kemalangan tersebut membabitkan sebuah lori tangki membawa sodium hydrixide solution, sebuah Proton Exora dan Perodua Alza. Mangsa yang maut belum dikenal pasti identiti manakala mangsa yang cedera di hantar ke Hospital Rompin untuk rawatan. - Foto Ihsan Dari PDRM Pahang

Impian bapa, anak bercuti musnah

ROMPIN: Kegembiraan lima beranak dalam perjalanan untuk bercuti di Kuantan bertukar tragedi apabila dua daripadanya maut dalam kemalangan, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.05 petang itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza keluarga terbabit dirempuh lori tangki di Kilometer 102.8 Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah, di sini.

Kemalangan itu menyebabkan pemandu MPV, Jamaludin Basri, 56 dan anaknya, yang duduk di tempat belakang, Hanis Syahirah, 19, maut di lokasi kejadian.

Dua lagi anak mangsa, Hanis Humaira, 12 dan Hanis Nazira, 17, cedera parah di kepala, manakala isteri Jamaludin, Rozita Manan, 50, yang duduk di hadapan, cedera pada muka dan kepala.

Bagaimanapun, satu lagi keluarga yang kereta mereka turut dirempuh lori tangki itu, cedera ringan dan dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk rawatan.

Pemandu Proton Exora dikenali sebagai Yusoff, 40, yang bertugas di Kem Terendak, Melaka, bersama isteri Farizan Subian, 35, dan dua anak mereka, Nur Farisya, 6, serta Muhammad Fariz Izwan, 9, mengalami kecederaan ringan.

Seorang lagi anak Yusoff, Muhammad Zaquwan, 1, tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azly Mohd Noor, berkata lori tangki dipandu Mohd Fadzil Mohd Jailan, 46, yang dalam perjalanan menghala ke Segamat dari Kuantan cuba mengelak sebuah kereta lain yang memasuki simpang ke Petronas secara mengejut.

"Lori tangki itu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu melanggar kenderaan dipandu Jamaludin dan Yusof," katanya ketika dihubungi, di sini, pagi tadi.

Beliau berkata, semua mangsa yang tersepit dalam kenderaan masing-masing dikeluarkan dengan bantuan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Muadzam Shah.

"Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata, polis menemui kesan brek lori tangki itu sepanjang lapan meter ketika cuba mengelak kenderaan yang memasuki simpang secara mengejut.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X