Selasa, 28 November 2017 | 8:29pm
PELAJAR Tingkatan Lima SMK Bukit Payong, Zulfaiz Zukarmi ditemui lemas selepas tergelincir ketika cuba melintasi jambatan dinaiki air di kampungnya dekat Kampung Bukit Payong, Hulu Besut, petang tadi. - Foto Mohmamad Ishak

Pelajar tamat SPM lemas

JERTIH: Seorang pelajar yang baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), menjadi mangsa kedua banjir di negeri ini, apabila ditemui lemas di Kampung Bukit Payong, Hulu Besut, hari ini.

Mayat Zulfaiz Zukarmi, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong di sini, ditemui di sungai kira-kira 150 meter dari rumahnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa bersama enam rakannya melintasi jambatan di kampung itu.

Sebelum kejadian, Zulfaiz beberapa kali meminta izin datuknya Hashim Seman, 61, untuk keluar bermain air dengan rakan.


LOKASI kejadian Zulfaiz Zukarmi ditemui lemas selepas tergelincir ketika cuba melintasi jambatan dinaiki air di kampungnya dekat Kampung Bukit Payong, Hulu Besut, petang tadi. - Foto Mohmamad Ishak

Bagaimanapun, Hashim melarang cucunya berbuat demikian kerana mangsa tidak tahu berenang.

"Saya benarkan selepas dia berulang kali meminta izin tetapi berpesan supaya berhati-hati," katanya ketika ditemui di Hospital Besut, malam ini.

Hashim terkejut apabila dimaklumkan cucunya itu jatuh ke dalam sungai, selepas tergelincir ketika melalui jambatan yang hampir dinaiki air itu.

Katanya, mayat mangsa ditemui bapa saudaranya, Mohd Azam Hashim, 21, selepas usaha mencari digerakkan.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Abdul Halim Hassan, berkata arwah ialah pelajar cemerlang di sekolah itu dan mendapat 10A dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dua tahun lalu, dan menjadi pelajar harapan untuk SPM tahun ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Berita Harian X