Ahad, 26 November 2017 | 7:51pm
LOKASI kejadian lemas membabitkan calon SPM di sebuah pusat peranginan Jalan Bukit Quoin Hill, Tawau. - Foto Ihsan IPD Tawau

Calon SPM lemas ketika mandi kolam

TAWAU: Seorang pelajar lelaki yang juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lemas ketika mandi di kolam renang sebuah pusat peranginan, di Jalan Bukit Quoin Hill dekat sini, pagi tadi.

Difahamkan, Ashiraf Ayub, 17, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuhara, pergi ke pusat peranginan itu bersama keluarga sebagai aktiviti riadah pada hujung minggu.

Mangsa yang hanya tinggal dua lagi kertas peperiksaan SPM yang berakhir minggu depan, dikatakan tidak tahu berenang.

Kejadian berlaku jam 11 pagi apabila saksi mengesahkan melihat Ashiraf terjun ke dalam kolam, namun tidak mengesyaki mangsa lemas memandangkan air kolam ketika itu keruh.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, ketika mengesahkan kejadian itu berkata, selepas mangsa tidak timbul, penjaga kolam menyelam dan mencarinya sebelum ditemui di dasar kolam dengan keadaan tidak sedarkan diri.

Katanya, ibu mangsa kemudian membawa anaknya untuk mendapatkan rawatan kecemasan di sebuah Klinik di Balung, namun disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan yang bertugas.

"Tiada unsur jenayah dalam kes ini dan punca kematian adalah disebabkan lemas," katanya yang mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

216 dibaca
Berita Harian X