Ahad, 26 November 2017 | 7:31pm
ANGGOTA bomba membawa mayat lelaki yang ditemui di Sungai Segaliud, di Kinabatangan. - Foto Ihsan Bomba

Lelaki hilang ditemui lemas

KINABATANGAN: Lelaki yang dilaporkan hilang ketika menjala ikan di Sungai Segaliud dekat sini, ditemui lemas oleh pasukan mencari dan menyelamat, petang tadi.

Mayat Nasrun Utik, 50, ditemui dalam keadaan terapung di sungai terbabit pada jam 4 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Nurul Azlan Jamalludin, berkata mayat ditemui berhampiran lokasi mangsa dilaporkan terjatuh petang semalam.

Katanya, ketika ditemui, mayat mangsa dalam keadaan masih lengkap berpakaian.

"Mayat mangsa sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, Nasrun dilaporkan hilang selepas keluar menjala ikan di sungai itu kira-kira jam 2.30 petang.

Penduduk menemui bot mangsa tersadai di tengah sungai sebelum melaporkan kejadian kepada bomba.

Berita Harian X